Gumpalan tali leher terpakai antara sumbangan pakaian terpakai kepada mangsa banjir di PPS Kampung Buntut Pulau.

KUALA LUMPUR – Sumbangan pakaian kepada mangsa banjir memang dialu-alukan kerana ada dalam kalangan mereka tinggal sehelai sepinggang sahaja.

Malah ada yang pakai baju dan seluar yang sama sepanjang berada di pusat pemindahan banjir sebelum ada bantuan dan sumbangan pihak luar.

Malangnya ada dalam kalangan penyumbang memberi pakaian tidak elok dan tidak sempurna kepada mangsa banjir.

Mereka seolah-olah menjadikan platform sumbangan baju terpakai untuk ‘pembuangan’ barangan yang tidak lagi diperlukan.

Antara kasut rosak yang disumbangkan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Buntut Pulau.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Buntut Pulau di Temerloh, Pahang, Burhanuddin Mohd Ariff yang mendakwa 80 peratus daripada sumbangan pakaian tidak sesuai dan dalam keadaan tidak baik.

“Memang kami berterima kasih kepada pihak penyumbang namun kebanyakan baju itu tidak sesuai untuk mangsa banjir, ada yang koyak ada baju kotor malah ada berkarat.

“Ada beri banyak tali leher yang sudah tentu tidak diperlukan oleh mangsa banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Perkara itu, menurut Burhanuddin, menyusahkan pihak pengurusan dan JKKK kerana terpaksa mencari jalan membuangnya pula.

Beliau percaya perkara itu juga berlaku di kawasan banjir lain di sekitar Pahang yang banyak menerima sumbangan baju terpakai.

“Saya harap kalau mahu menyumbang biarlah yang elok-elok dan boleh dipakai oleh mereka yang memerlukan. Kalau sumbang baju yang kita sendiri tak mahu pakai sudah tentu orang lain pun tidak mahu,” kata Burhanuddin.

Bagaimanapun beliau berterima kasih kepada mereka yang menyumbangkan baju terpakai yang masih elok termasuk daripada orang perseorangan kepada mangsa banjir.

“Ada juga pakaian yang masih elok terutama dari orang persendirian dan ia biasanya cepat diambil mangsa banjir di PPS yang memerlukan baju yang boleh dipakai,” kata Burhanuddin.

Ahli JKKK Kampung Buntut Pulau, Burhanuddin Mohd Arif (kanan) menerima sumbangan baju terpakai daripada penyumbang, Mohd Fathillah Abdul Rahim di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya, situasi banjir di Temerloh rata-rata sudah semakin pulih namun bantuan pasca banjir seperti usaha membersihkan dan membaiki rumah mangsa masih dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta.-MalaysiaGazette