Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu yang didakwa kesan penggondolan hutan bagi aktiviti kuari.

KUALA LUMPUR – Keindahan alam semula jadi di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di Manjung, Perak kini tinggal kenangan apabila musnah selepas aktiviti kuari yang didakwa beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.

Menerusi perkongsian netizen di Facebook yang tular, pemandangan kawasan air terjun itu yang sebelumnya menghijau dengan air jernih kini telah berubah sama sekali.

Ia telah dipenuhi timbunan pokok dan kayu serta selut kesan penggondolan hutan bagi tujuan projek kuari.

Melalui akaun Facebook Otai Manjung, dia mendakwa aktiviti terbaharu di kawasan hutan itu dilakukan secara rakus tanpa pertimbangan terhadap alam sekitar.

“Terdapat pelbagai khazanah alam flora dan fauna yang boleh diterokai, salah satunya Air Terjun Tanjung Batu.

“Tetapi kini segalanya telah musnah akibat daripada projek ini. Lihatlah, hanya kerana mahukan keuntungan segera dan mudah, khazanah alam bukan lagi sesuatu yang penting bagi mereka,” kongsinya.

Difahamkan, projek kuari di atas tapak berkeluasan 18 hektar itu didakwa telahpun memulakan kerja-kerja awal pembersihan di kawasan laluan masuk ke air terjun berkenaan.

Maklumat pada papan tanda yang dipasang di kawasan berhampiran menunjukkan, pembangunan kuari tersebut mendapat kelulusan kerajaan negeri di sebahagian kompartmen 16 di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang.

Pelaksanaan projek berkenaan telah menimbulkan rasa kecewa pencinta alam sekitar kerana dilakukan tanpa urus hutan yang betul sehingga menjejaskan ekosistem sedia ada di kawasan itu. – MalaysiaGazette