Nuur Muzdalifah Abd. Aziz

KUALA LUMPUR – Ramai pelajar mengeluh dan takut untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari ini, memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan membimbangkan.

Ketua Penerangan Wiranita Putra Malaysia, Nuur Muzdalifah Abd. Aziz berkata, sayap parti itu menerima banyak aduan dan keluhan daripada pelajar serta ibu bapa yang meminta peperiksaan itu ditangguhkan sehingga wabak itu pulih.

Menurut beliau, pelajar berkenaan pastinya menghadapi keadaan sukar kerana pertama  kali berdepan dengan pandemik penyakit berjangkit dan tambahan pula peperiksaan itu penting bagi menentukan hala tuju serta masa depan mereka.

“Mereka merasa kerugian masa disebabkan pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini dan pembelajaran mereka berubah 360 darjah, berbanding calon SPM tahun sebelumnya.

“Selain itu, pelajar juga mengalami kesukaran mengikuti pembelajaran secara atas talian berbanding belajar dalam kelas.

“Guru pula perlu lebih memberikan perhatian, bimbingan dan mengambil berat serta memberi sokongan moral kepada calon SPM supaya mereka tidak merasakan terbeban dengan situasi ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Nuur Muzdalifah, pandemik Covid-19 membuatkan calon SPM tidak bersedia dan gagal menumpukan pada pembelajaran, selain banyak berfikir mengenai keadaan bahaya di sekeliling mereka.

Katanya, mereka juga lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing serta keluarga daripada menumpukan pada pelajaran.

“Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada semua calon SPM, ditambah pula keadaan cuaca, yang menyaksikan berlaku banjir di beberapa negeri dan daerah.

“Kita minta Kementerian Pendidikan mengkaji semula penetapan tarikh SPM bagi tahun ini dengan mengambil kira situasi semasa yang berlaku dalam negara.

“Semoga cadangan tarikh baharu ini dapat memberi peluang kepada calon SPM untuk lebih bersedia dan memberi ruang kepada ibu bapa menyediakan yang terbaik untuk anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette