Gambar Hiasan. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 10 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Para guru disarankan menyediakan bahan Pengajaran & Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan dan boleh diukur dengan meneruskan norma baharu pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, ibubapa perlu menjadi mata dan tangan untuk guru buat sementara waktu bagi mengelakkan anak-anak tidak hilang semangat untuk terus belajar.

Katanya, selain itu ibubapa dan guru perlu berkomunikasi secara konsisten dan mengelakkan menyalahkan atara satu sama lain.

“Guru dan ibubapa harus saling melengkapi untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran yang berkesan untuk anak-anak di rumah. Ibu bapa dan guru harus berkomunikasi secara telus dan bekerjasama serta elakkan tuding menuding di antara mana-mana pihak

“Ibu bapa juga harus menjadi mata dan tangan guru untuk sementara waktu, sehingga sekolah dibuka semula nanti. Hanya dengan cara ini kita semua boleh bekerjasama untuk mengelakkan ‘lost generation’ di kalangan anak-anak kita dengan menyediakan mereka untuk bersedia meneruskan pembelajaran,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menerusi kenyataan hari ini.

Bukan sahaja ibu bapa, Maszlee yakin, guru turut berada dalam dilema apabila mengetahui tidak semua anak murid mempunyai ekosistem pembelajaran dalam talian yang kondusif.

Justeru bekas Menteri Pendidikan itu berpendapat kerjasama dua pihak itu amat penting.

Maszlee turut menyarankan guru dan ibubapa memanfaatkan portal pembelajaran percuma Sophia.my untuk meneruskan PdPR di rumah ketika PKP.

Ujar beliau terdapat lebih dari 13,000 video pembelajaran untuk digunakan secara percuma oleh semua.

“Saya faham keresahan dan cabaran buat semua ibu bapa dan juga para guru di luar sana. Namun dalam masa yang sama, tiada jalan mudah buat kita semua hari ini.

“Meneruskan pembelajaran anak-anak adalah keutamaan buat kita semua. Kita semua harus bekerjasama untuk memastikan pembelajaran mereka dapat diteruskan walau dalam situasi yang mustahil sekalipun,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. – MalaysiaGazette