Penasihat Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kepada kerajaan negeri untuk membenarkan pelanggan restoran makan di kedai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Nampaknya bukan sahaja peniaga dan orang ramai yang merungut mengenai peraturan penutupan kedai makan pukul 8 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Kali ini seramai 21 ahli Parlimen pembangkang turut menggesa perkara yang sama.

Menurut mereka, waktu operasi yang dihadkan sehingga pukul 8 malam itu menyulitkan rakyat untuk membeli makanan selepas habis waktu bekerja.

“Membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.

“Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki SOP ini kerana ia memberi kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka,” kata kumpulan ahli Parlimen itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Untuk rekod, kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Kelantan.

Bagi kawasan itu, restoran, trak makanan, gerai makanan, dan tempat makan lain hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam dan untuk perkhidmatan bawa pulang serta penghantaran sahaja.

Gesaan lanjutan waktu operasi kedai makan itu turut disuarakan oleh Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan beberapa penghantar makanan sebelum ini.

Sementara itu, anggota-anggota Parlimen itu turut menggesa kerajaan supaya melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” ujar mereka.

Wakil rakyat yang membuat tuntutan itu adalah:

1. Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang)
2. Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)
3. Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar)
4. Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut)
5. Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri)
6. Baru Bian (Ahli Parlimen Selangau)
7. Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh)
8. Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai)
9. Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu)
10. Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
11. Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud)
12. Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena)
13. Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)
14. Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam)
15. Maria Chin (Ahli Parlimen Petaling Jaya)
16. Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang)
17. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)
18. Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)
19. Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)
20. Kasthuriraani Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan)
21. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Ahli Parlimen Merbok).- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Restoran minta waktu operasi dipanjangkan, senangkan pekerja