Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.
KUALA LUMPUR – Selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital, kerajaan melanjutkan pelepasan cukai khas sehingga RM2,500  ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang telah berakhir pada akhir tahun lalu sehingga 31 Disember ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang jenis pemasangan tempatan  sehingga 30 Jun 2021 bagi memacu momentum perkembangan sektor automotif.
Dalam perutusan khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) petang ini, beliau turut mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, yang mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor.
Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000, selain had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.
Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.
“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN.
”Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” katanya.
Bagi menghargai sumbangan penghantar makanan, sejumlah RM24 juta telah diperuntukkan bagi membiayai caruman penuh di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan akan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP), tambahan ini kepada RM500,000  perusahaan kecil sederhana (PKS) di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000 manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.
Katanya, GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 jut, meskipun begitu sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta.
Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.
 Selain itu, kerajaan memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun dan syarat ini dilonggarkan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021. – MalaysiaGazette