Mustafa Shah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM35.4 juta yang diluluskan kerajaan untuk pembinaan tiga dewan di Parlimen Pagoh baru-baru ini, boleh diguna untuk meningkatkan fasiliti dan kelengkapan hospital bagi menghadapi gelombang seterusnya penularan Covid-19.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, peruntukan itu juga boleh disalurkan kepada rakyat yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat wabak berkenaan.

“Kerajaan sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan bukannya memenuhi keperluan politiknya.

“Sebagai Perdana Menteri, keutamaan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya menjaga kelompok tertentu saja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kerajaan menggantung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ingin memberi tumpuan kepada usaha menangani Covid-19 secara berkesan, namun mengapa pula pembinaan dewan itu tidak boleh digantung buat seketika.

“Apakah kepentingannya kepada rakyat secara keseluruhannya dengan pembinaan dewan berkenaan.

“Apakah ia mampu untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19?” soal beliau. – MalaysiaGazette