Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Pakej Bantuan Khas yang turut memperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukti kerajaan mengutamakan kesihatan awam dan barisan hadapan yang berkhidmat untuk rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia dapat dilihat pada keputusan menambah sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak pada hujung Januari ini melibatkan jururawat, anggota paramedik dan sebagainya.

“Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semasa pengumuman tersebut, KKM juga telah diberikan peruntukan sejumlah RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan yang melibatkan perolehan Kelengkapan Perlindungan diri (PPE), Reagen, Kit Saringan, Hand Sanitizer dan Bahan Guna Habis (consumable).

Sebanyak RM3 bilion diberikan kepada KKM untuk penyediaan vaksin Covid-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancang bermula selewat-lewatnya pada Mac ini.

Manakala bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, sebanyak RM100 juta disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta di mana hospital swasta akan menerima dan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Adham berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam khususnya di hospital.

Justeru KKM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pengumuman Pakej Bantuan Khas hari ini dan dalam masa yang sama menyeru agar semua pihak bersama-sama memerangi penularan pandemik. -MalaysiaGazette