Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan makanan kepada petugas kesihatan serta pasukan barisan hadapan atas jasa mereka membendung penularan Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) susulan kiriman surat seorang doktor yang membangkitkan isu beban ditanggung barisan hadapan.

“Mengambil maklum cadangan oleh JKNS dan surat yang dikirim oleh seorang petugas perubatan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menyediakan makanan buat para petugas perubatan dan ‘frontliners’ yang terlibat dengan usaha melawan Covid-19 bagi mengurangkan beban mereka,” kata Amirudin menerusi akaun Twitternya hari ini.

Pada April lalu, Selangor memperuntukkan RM1.344 juta untuk bantuan makanan percuma kepada petugas perubatan di hospital di seluruh negeri itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pada 20 Mac lalu, hari ketiga pelaksaan PKP, Selangor menjadi negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasar berjumlah RM127.8 juta. – MalaysiaGazette