Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dijangka membuat pengumuman sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Rabu ini.

Pengumuman itu akan dibuat oleh beliau secara langsung menerusi Facebook.

“Insya Allah, saya akan membuat satu pengumuman khas buat warga Selangor sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 pada hari Rabu ini jam 11 pagi di laman Facebook saya,” tulis beliau di Facebook hari ini.

Pada Mac tahun lalu, susulan pelaksanaan PKP seluruh negeri, Amirudin mengumumkan peruntukan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa pertama berjumlah RM127.78 juta.

Pakej bantuan itu membabitkan tujuh inisiatif yang memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Amirudin sekali lagi mengumumkan bantuan fasa kedua berjumlah RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19 pada April 2020.

Antara bantuan diberikan adalah saringan Covid-19 di kawasan panas atau zon merah, makanan percuma kepada petugas kesihatan, media dan pasukan keselamatan, pemberian Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliner, membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman serta sarung tangan.

Bantuan juga membabitkan peruntukan RM3 juta untuk stesen kuarantin Selangor yang beroperasi sebagai petempatan individu dalam pemerhatian bagi Kluster Tabligh dan ketibaan dari luar negara. – MalaysiaGazette