– Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan memperluaskan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 untuk pemberian bantuan bagi sektor perdagangan dan logistik.

Ia merangkumi pembuatan seperti perdagangan atau pengedaran dan logistik berikutan kemerosotan yang berlaku dalam aktiviti pembuatan.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata aktiviti pembuatan yang berkurangan itu disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Akta ini terhad kepada sembilan kategori. Ini sangat spesifik dalam memberikan bantuan sementara untuk kewajiban dalam kontrak pada sepanjang tempoh pandemik ini. Kami mencadangkan agar merangka Akta Pengurusan Bencana digubal, ia akan melibatkan bencana lain seperti banjir dan penularan wabak lain yang mungkin akan berlaku pada masa depan dan bukan hanya kepada pandemik COVID-19 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), FMM berharap program yang dilanjutkan itu akan berlangsung bagi tempoh tiga bulan kerana operasi perniagaan akan terus terjejas walaupun operasinya disambung semula selepas PKP berakhir.

“Selain itu, kami berharap kerajaan dapat  memberi kelonggaran terhadap syarat bagi Program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi mereka yang kehilangan pekerjaan,” kata Soh.

Sementara itu, FMM juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menerima cadangannya bagi meneruskan pemberian bantuan terutama bagi industri yang tidak dibenarkan beroperasi pada tempoh PKP ini, ia pasti memberi kesan kepada kesinambungan perniagaan dan kemampanan serta kelangsungan kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette