Lim Guan Eng. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng disifatkan cuba menggagalkan usaha kerajaan untuk mencerdaskan semula ekonomi negara dengan mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya meyakinkan pelabur asing dengan memberi alasan kerajaan gagal mengurus pandemik Covid-19 dan pengisytiharan darurat .

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, sebaliknya kerajaan mengurus pandemik itu dengan baik menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan baru-baru ini.

Jelasnya, PERMAI memperuntukkan RM15 bilion untuk merancakkan ekonomi diiringi inisiatif kebajikan rakyat termasuklah perniagaan dalam negara.

“Sebanyak 22 inisiatif di bawah PERMAI telah digunakan dengan teliti dan berfokus dalam usaha memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Afif menyifatkan dakwaan Guan Eng hanya membuktikan beliau tidak layak menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.

Afif dalam masa yang sama menggesa Guan Eng untuk tidak menggunakan sentimen dan persepsi yang salah berkenaan kedudukan ekonomi negara.

“Kegagalan beliau untuk merujuk fakta dan data mengesahkan lagi dakwaan kegagalan dan kelemahan beliau sebagai Menteri Kewangan sebelum ini,” tambahnya.

Menurut Afif, sikap tidak bertanggungjawab itu akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan para pelabur terhadap usaha kerajaan memastikan pasaran ekonomi negara terus kukuh, mampan dan stabil.

Semalam bekas Menteri Kewangan itu membidas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa keyakinan pelabur asing tidak terjejas berikutan pengisytiharan darurat yang menyebabkan sidang Parlimen digantung. – MalaysiaGazette