Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) membenarkan individu-individu menggunakan kenderaan sendiri sama ada motosikal atau kereta, yang menghantar barangan atau barang makanan secara kecil-kecilan sama ada secara separuh masa mahupun bebas.

Bagi yang menjalankan perkhidmatan kenderaan barangan di bawah kategori Lori Pembawa A dan Lori Pembawa C, hendaklah mendapatkan lesen pengendali seperti ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pertimbangan ini adalah khusus bagi mengelakkan mereka yang terlibat secara separuh masa mahupun freelance terhenti daripada menjalankan aktiviti yang mendatangkan sumber pendapatan di dalam tempoh menangani pandemik Covid-19.

Menurutnya, terdapat keperluan bagi pihak kementerian itu untuk meneliti individu yang telah hilang sumber pendapatan khususnya melibatkan pekerja ekonomi gig akibat pandemik ini agar mereka dapat terus menjalankan aktiviti pekerjaan alternatif dan perniagaan, seterusnya menampung kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

Kata beliau, MOT dan agensi-agensi di bawahnya sedang meneliti perkara ini dan membangunkan peraturan yang bersesuaian agar
aktiviti perniagaan mereka dapat diteruskan dalam persekitaran perniagaan yang dikawal selia di bawah undang-undang berkaitan namun ia mengambil masa untuk dimuktamadkan.

Pada masa sama, Ka Siong menasihatkan mereka yang bekerja sendiri mendapatkan perlindungan insurans di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di samping mematuhi semua peraturan jalan raya sepenuhnya.

Bagi pihak-pihak yang telah dilesenkan (mempunyai Lesen Pengendali atau Lesen Perniagaan Pengantaraan atau lesen kenderaan perdagangan) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Sarawak, mereka boleh memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) atau pertukaran sementara penggunaan kenderaan perkhidmatan awam.

Ini akan membenarkan mereka menggunakan kenderaan yang dilesenkan sebagai kenderaan pengangkutan awam untuk digunakan sebagai kenderaan barangan.

Peraturan dan kaedah permohonan mengenai perkara itu boleh diperolehi daripada agensi-agensi terbabit, ujarnya.

Ka Siong menambah, industri penghantaran barang makanan dan barangan milik pihak ketiga sememangnya mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dengan lebih meluas seterusnya membawa manfaat sosio-ekonomi kepada rakyat Malaysia, terutamanya melibatkan kumpulan B40.

Industri perkhidmatan ini didapati telah menjadi satu norma baharu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka terus berkembang pesat pada masa hadapan. – MalaysiaGazette