Aiman Athirah

KUALA LUMPUR – Kejadian kes rogol melibatkan seorang gadis berusia 16 tahun ketika berada dalam tahanan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak baru-baru ini menjelaskan bahawa balai polis kini bukan lagi satu tempat yang selamat kepada awam khususnya kanak-kanak.

Senator Aiman Athirah Sabu berkata, kejadian itu sangat mendukacitakan, mengejutkan dan wajar dikecam sekeras-kerasnya.

Lantaran itu, beliau mendesak siasatan menyeluruh insiden tersebut perlu disegerakan memandangkan ia merupakan kes berkepentingan awam, apatah lagi mangsa terlibat adalah seorang yang masih berstatus kanak-kanak dan insiden malang itu berlaku dalam pusat tahanan di bawah kendalian polis.

”Keadaan sudah jauh lebih daripada serius untuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) lokap, sekali gus melakukan pembaharuan urustadbir lokap dan pusat tahanan sepertimana yang didesak oleh masyarakat dan kumpulan hak asasi manusia selama ini,” katanya yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN)

Lebih mengejutkan, tambahnya apabila dua anggota polis yang bertugas pada malam kejadian hanya diambil tindakan digantung kerja.

Sedangkan, tegas beliau, sewajarnya dua anggota tersebut disiasat segera di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya di bawah Seksyen 31 yang memperuntukkan bahawa mana-mana orang, menjadi orang yang menjaga anak – menyalahgunakan, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan anak atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan dia cedera fizikal atau emosi, atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera, diabaikan, ditinggalkan atau didedahkan atau melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera sedemikian melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak lebih dari 20 tahun atau kedua-duanya.

Aiman berkata, pihak kerajaan dan polis wajib memastikan keselamatan yang ketat terutama antara tahanan lelaki dan wanita bagi memastikan perlindungan sepenuhnya diberi kepada setiap tahanan sepanjang mereka berada dalam pasungan untuk siasatan polis.

Oleh itu beliau menggesa Pesuruhjaya Polis Sarawak segera menjelaskan siapakah suspek terlibat yang telah membuka sel kanak-kanak itu dengan awalnya bertanya kepada mangsa sama ada dia mahu menggunakan tandas di dalam lokap, sebelum akhirnya merogol kanak-kanak malang itu.

“Bagaimana suspek tersebut boleh memiliki kunci sel lokap kanak-kanak malang itu? Mengapa tahanan kanak-kanak perempuan ini tidak diasingkan daripada sel tahanan orang-orang lelaki dan dewasa? Mengapakah tiada warden atau anggota polis wanita yang mengawal sel lokap tahanan gadis/wanita?,” soalnya.

Hujahnya lagi, Seksyen 85 Akta Kanak-Kanak 2001 telah menetapkan pengaturan yang sesuai untuk mangsa yang masih di bawah umur ketika dia berada di bawah jagaan mereka, bahawa mereka mesti dipisahkan dari orang dewasa di balai polis, tempat tahanan atau mahkamah. Mengapakah peruntukan undang-undang sepenting ini gagal dipatuhi oleh pihak polis sendiri?

“Tidakkah seolah-olah kejadian ini seperti disengajakan dan sepertinya telah biasa berlaku? Bezanya barangkali ialah tiada pihak yang berani melaporkannya?,” soalnya lagi.

Tegasnya, polis tidak boleh hanya lepas tangan kerana insiden ini ternyata adalah kecuaian polis dan mereka perlu sepenuhnya mengambil tanggungjawab. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ALLAHU..
    makin teruk dah negara nie,
    apa la nak jadi,
    rakyat makin rasa xselamat dah,
    lau duduk dalam kawalan pihak berkuasa pun leh jadi cm tu,
    mcm mana la lau kt tempat lain,
    kesian kt budak tu,

Comments are closed.