Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin (kiri) menunjukkan maklumat vaksin Covid-19 pada sidang media Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 di Pejabat MOSTI, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 23 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kehadiran vaksin Covid-19 pada hujung Februari ini memang dinanti-nantikan kerana ia satu-satu harapan membebaskan diri daripada penularan pandemik yang membelenggu kita sejak tahun lepas.

Tinjauan Malaysia Gazette hari ini mendapati rata-ratanya menyambut baik tindakan kerajaan itu agar dapat bergerak bebas seperti dahulu sekali gus membatalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan ketika ini.

Walaupun menaruh harapan namun ada juga mereka yang agak skeptikal memandangkan isu vaksin mempunyai pro dan kontranya sebelum ini.

Malah ada segelintir pihak termasuk di negara ini menjadi golongan anti vaksin atas beberapa sebab termasuk keselamatan, hukum agama dan sebagainya.

Namun bagi seorang kakitangan Pos Malaysia, Mohd Hafizy Mohd Nor, 29, berkata, vaksin itu penting buat dirinya susulan sudah hampir setahun tidak pulang ke kampung akibat Covid-19.

Mohd Hafizy Mohd Nor, 29, bercakap semasa temubual mengenai isu vaksin di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2021.

“Saya berada di sektor yang perlu bekerja ketika PKP ini dan ia sekali gus membuatkan saya rasa takut wabak ini akan berjangkit sekiranya pulang ke kampung bagi menziarahi orang tua.

“Memang saya sokong penuh usaha kerajaan dan akan menerima suntikan vaksin itu tanpa ragu-ragu kerana saya mahu hidup seperti Malaysia yang dahulu,” katanya.

Menurut seorang peniaga makanan, Haliza Mohd Ramli, dia tidak mempunyai masalah untuk menerima vaksin Covid-19 dan berpendapat individu yang tidak mempunyai penyakit kronik perlu diutamakan.

Haliza Mohd Ramli, 51, bercakap semasa temubual mengenai isu vaksin di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2021.

“Saya menghidap kencing manis dan darah tinggi jadi banyak persoalan bermain di fikiran berhubung kesan sekiranya menerima suntikan vaksin itu namun jika diberikan saya akan terima dengan baik.

“Bagi golongan antivaksin, terpulang pada mereka sendiri. Jika vaksin ini menunjukkan hasil yang positif, rugilah mereka yang menolaknya,” katanya.

Sementara itu, G. Ramesh, 50,  yakin suntikan vaksin yang akan diperoleh itu akan meredakan pelbagai masalah yang membelenggu rakyat.

Ramesh Govindasamy, 50, bercakap semasa temubual mengenai isu vaksin di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2021.

“Bukan isu pekerja hilang punca pendapatan sahaja, saya percaya bila kita dapat vaksin ini murid-murid pun boleh pergi ke sekolah seperti sedia kala bagi meneruskan pembelajaran.

“Kita mahu tahun 2021 ini ada perubahan tidak seperti tahun lalu di mana tiada sebarang perkembangan yang proaktif termasuk daripada ekonomi serta kemajuan buat negara,” ujarnya.

Mengulas perkara yang sama, seorang pekerja bank, Hisham Sarip pula berpendapat, pemimpin negara harus menerima suntikan vaksin terlebih dahulu bagi memberikan keyakinan kepada rakyat.

“Kita boleh lihat hasil daripada suntikan tersebut dan jika keputusan yang diterima adalah positif sekali gus membuka mata rakyat tentang kebaikan vaksin itu.

“Sebagai umat Islam, saya berharap semua orang menerima suntikan vaksin ini agar memudahkan kita untuk menunaikan umrah dan haji pada masa akan datang,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Silakan vaksin guinea pigs. Hospital kelas economy untuk rakyat dan hospital swasta untuk VIPs sedang siap sedia okay. Do it at your own risks, guys.

Comments are closed.