Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empat individu warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian ditahan polis.

Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Mohd Omar berkata, kesemua suspek itu ditahan dalam dua serbuan secara berasingan di kondominium di Kuchai Entrepreneurs Park, Kuchai Lama pada jam 5 petang semalam.

Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki warga China yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas dua set komputer riba, dua moden internet dan 19 buah telefon bimbit.

“Turut dirampas wang tunai RM55,000 daripada kedua-dua suspek disyaki hasil kegiatan judi atas talian itu,” katanya dalam kenyataan.

Susulan dari operasi tersebut, tambah beliau, serbuan kedua telah dilakukan pada jam 6 petang di sebuah lagi unit kondominium yang sama.

Hasil serbuan, katanya, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia 22 tahun dan 20 tahun.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan di unit yang dihuni mereka polis merampas satu set komputer, satu set modem internet, satu kad akses dan dua buah telefon bimbit milik kedua-dua suspek itu.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kes judi dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu reman pendatang asing tanpa izin dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette