Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan mengenai aplikasi PULSE dari 'Enthuasiast' Bas, Siti Nawal Shakirah Abdul Rahman selepas melancarkannya di Kompleks Rapid Rail, Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengarahkan semua kontak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjalani ujian saringan Covid-19 selepas pengerusi syarikat itu disahkan positif.

Dalam kenyataan hari ini, Prasarana berkata, kumpulan yang dikategorikan dalam Kategori B iaitu mempunyai kontak rapat dengan Tajuddin diwajibkan menjalani ujian saringan.

“Mereka yang tergolong di bawah Kategori C pula diletakkan dalam kuarantin di rumah dengan serta-merta selama 10 hari sehingga 29 Januari atau sehingga Kategori B didapati negatif,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana hari ini.

Dalam kenyataan itu, Tajuddin telah memasuki pejabatnya pada Isnin lalu untuk satu mesyuarat dengan beberapa pegawai kanan.

“Beliau juga masuk untuk satu mesyuarat pada pagi Selasa dan terus ke hospital untuk menjalani ujian saringan sejurus selepas mengetahui Datuk Seri Nazri Aziz positif Covid-19,” kata Prasarana lagi.

Kenyataan itu turut mengesahkan seluruh ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana, yang terletak di Menara UOA, Bangsar sudah menjalani pembersihan komprehensif dan disanitasi untuk memastikan ia bebas daripada virus berkenaan.

Kerja-kerja itu dijalankan pada 18 Januari jam 3 petang.

Dalam pada itu, satu lagi proses sanitasi tambahan akan dijalankan hari ini berikutan perkembangan terbaharu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.

Untuk rekod Tajuddin duduk di sebelah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz semasa Ahli Padang Rengas itu mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusannya menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nazri juga disahkan positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di Kota Bahru. – MalaysiaGazette