Dr Radzi Jidin bertanya sesuatu kepada pelajar pelajar Tingkatan 5 ketika mengadakan lawatan di sekolah di Putrajaya, pagi ini. foto FB Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memberikan jaminan akan memantau rapat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan semua sekolah di seluruh negara.

Menterinya, Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu perlu apabila pelajar tingkatan lima 2020 dan 2021 dan juga Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) telah mula ke sekolah hari ini.

“Kami mendoakan kejayaan anak-anak semua.

Insya Allah, KPM akan terus memantau pematuhan SOP di sekolah-sekolah seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat dua buah sekolah di Putrajaya, pagi tadi.

Beliau mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) dan SMK Putrajaya Presint 16 (1) sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi ini.

Dr Radzi juga sempat meluangkan masa bersama-sama pelajar tingkatan lima itu dan bertanya khabar kepada mereka.

Untuk rekod, seramai 524,718 pelajar membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM) bagi tahun peperiksaan 2020 akan mengambil peperiksaan masing-masing bersama pelajar tahun 2021, tahun ini. – MalaysiaGazette