Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini memutuskan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 1.75 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi global terus pulih, didorong oleh aktiviti perkilangan dan eksport yang bertambah baik walau bagaimanapun, penularan semula kes Covid-19 baru-baru ini dan langkah-langkah pembendungan yang dilaksanakan seterusnya telah menjejaskan kegiatan ekonomi di beberapa ekonomi utama.

Pelaksanaan program pemvaksinan secara meluas yang dipercepatkan, bersama-sama dengan sokongan dasar yang berterusan, dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan global pada masa hadapan.

Keadaan kewangan juga terus memberikan sokongan namun prospek keseluruhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi lebih rendah terutamanya jika jangkitan Covid-19 menular semula dan inokulasi melawan virus ini secara meluas ditangguhkan.

BNM berkata, bagi Malaysia, penularan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan bersasar telah menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat tahun 2020.

Akibatnya, pertumbuhan bagi tahun 2020 dijangka berada pada paras lebih rendah dalam julat unjuran sebelum ini.

Bank Pusat itu menambah, meskipun pertumbuhan jangka pendek akan dipengaruhi oleh pelaksanaan semula langkah pembendungan yang lebih ketat pada tahun 2021, kesannya tidak seteruk yang dialami pada tahun 2020.

Trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik mulai suku kedua tahun 2021 dan seterusnya.

Keadaan yang bertambah baik ini akan didorong oleh permintaan global yang kembali pulih, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat semula berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan dan perlombongan yang sedia ada dan baharu.

Pemberian vaksin pada bulan-bulan yang akan datang juga akan meningkatkan sentimen tetapi risiko terhadap prospek pertumbuhan menjadi rendah masih wujud.

Hal ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai pandemik dan cabaran yang akan dihadapi yang boleh menjejaskan pemberian vaksin di dalam dan luar negara.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, katanya, purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 terutamanya disebabkan oleh harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.

Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak dunia yang dijangka lebih tinggi. Inflasi asas diunjurkan kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, katanya.

Berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannnya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri dan BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan. – MalaysiaGazette