KOTA BHARU – Niat murni seorang remaja berusia 16 tahun, menyelamatkan tiga kanak-kanak di dalam anak sungai di hadapan rumahnya di Kampung Perupok Tikat di sini, berakhir dengan tragedi apabila beliau ditemukan lemas.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang semalam itu, mangsa Wan Muhammad Azamudin Wan Aznan ketika kejadian, berada di hadapan rumahnya sebelum ternampak tiga kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun terkapai-kapai lemas.

Dikatakan beliau yang melihat kejadian itu, terus terjun ke sungai yang terletak kira-kira 20 meter di hadapan rumahnya, untuk menyelamatkan kesemua kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, selepas berjaya menyelamatkan kesemua kanak-kanak itu, mangsa kemudiannya turut tenggelam dipercayai kerana kepenatan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zaidi Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.23 petang dan tiba di lokasi pada pukul 5.49 petang.

“Berdasarkan maklumat, mangsa cuba menyelamatkan tiga kanak-kanak yang hampir lemas tetapi turut tenggelam, di dalam sungai yang mempunyai kedalaman 3.3 meter.

“Dalam operasi mencari yang dijalankan, mangsa ditemui di dasar sungai pada pukul 6.38 petang, beberapa meter dari tempat beliau cuba menyelamatkan mangsa lain,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika ditemui dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, untuk bedah siasat.

— BERNAMA