KUALA LUMPUR – Sebanyak RM60,000 peruntukan daripada Tabung Musa’adah Covid-19  akan disalurkan kepada mangsa banjir di Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi bantuan yang akan disampaikan oleh pasukan Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Ke Negeri Johor.

Jelasnya program ini adalah kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia, Kerajaan Negeri Johor, Agensi Pengurusan Bencana Negeri termasuklah pihak lain lagi yang terlibat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat mahupun orang perseorangan yang telah menyumbang ke Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM- Yayasan Waqaf Malaysia,” katanya menerusi Facebook ketika melepaskan pasukan penghantaran bantuan itu pagi ini.

Zulkifli menyeru orang ramai dan syarikat-syarikat korporat diseru dan dirayu untuk terus menyumbang ke Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWM bagi menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan terkini Sabah.-MalaysiaGazette