Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kesihatan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang positif Covid-19 semakin baik selepas 11 hari mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu, suhu badannya normal dan tidak batuk kecuali suaranya parau.

Meskipun keadaan bertambah baik tetapi beliau tidak dibenarkan pulang kerana rawatan pada paru-paru masih belum selesai.

”Kandungan oksigen ok, tekanan darah ok, darah keseluruhan ok, makan pun ok walaupun selera belum 100 %,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mustapa berkata, hospital dan unit rawatan rapi negara semakin penuh, oleh itu rakyat perlu patuh pada prosedur operasi standard sepenuhnya.

”Terima kasih doktor, jururawat dan petugas yang tidak kenal penat lelah demi menjaga kesihatan kami. ‘Terima kasih kepada semua sahabat handai, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang menghantar mesej, sampai salam dan berdoa berterusan.,” ujarnya sambil menyifatkan semua itu memberinya semangat dan dorongan untuk meneruskan perjuangan melawan Covid-19.

Tambah beliau lagi: ”Kepada sahabat-sahabat dalam politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, kurangkanlah politiking, kurangkanlah suhu politik. Patuh dan akurlah dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyelamatkan nyawa serta kehidupan kita semua”. – MalaysiaGazette