Ibu Pejabat WHO di Geneva

WASHINGTON – Joe Biden telah mengembalikan semula hubungan negara itu dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.

Biden telah menandatangani perintah eksekutif untuk menarik semula arahan tarik diri yang dibuat oleh Donald Trump pada tahun lalu.

”Penduduk Amerika lebih selamat apabila mempunyai hubungan dengan kesihatan global. Pada hari pertama saya sebagai presiden, saya akan menggabungkan semula dengan @WHO dan mengembalikan kepimpinan kita di pentas dunia,” kata Biden pada bulan Julai lalu selepas Trump memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penarikan diri AS dari WHO.

Menurut laporan media, Biden memilih Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit terkemuka untuk mengetuai delegasi AS. pada mesyuarat tahunan WHO akhir minggu ini.

Trump pada 8 Julai tahun lalu secara rasmi memulakan penarikan negara ini daripada WHO sebagai tindak balasnya dalam isu Covid-19.

Keputusan menarik keluar dari WHO yang berpusat di Geneva menimbulkan kemarahan penyokong kesihatan awam dan penentang politik Trump kerana badan itu mengetuai usaha global memerangi penyakit berjangkit dan kesihatan mental ketika jangkitan Covid-19 terus melonjak di seluruh dunia.

Trump dan pentadbirannya berulang kali menyerang WHO.

Amerika Syarikat telah merekodkan lebih daripada 24.4 juta kes Covid-19 dengan kematian melebihi 405.000 pada hari Rabu petang, menurut Johns Hopkins University. – MalaysiaGazette