Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Shahrulzaman Jaafar, 43, (kanan) dibawa oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 JANUARI 2021.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan.

Tertuduh, Shahrulzaman Jaafar, 43, menghadapi dua pertuduhan rasuah, iaitu menerima suapan berjumlah keseluruhan RM100,000 berhubung tender pembekalan dan penghantaran baja, tahun lalu.

Beliau dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi tadi, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut kertas pertuduhan, Shahrulzaman yang kini memegang jawatan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, didakwa menerima suapan itu daripada seorang lelaki berusia 46 tahun sebagai upah membantu mendapatkan tender itu yang berjumlah RM37.4juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan tertuduh yang diwakili peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Hakim Rihaida membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 12 Januari lalu, Shahrulzaman menghadapi tiga pertuduhan kes sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. APA NAK JADI INTAN ni.
    Pengarah pun rasuah…
    Patutlah kerajaan pincang. PTD2 pengarahnya ajar cara untuk rasuah ke?

Comments are closed.