Malaysia Airlines menerima 11 kelulusan ATR.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meluluskan sebanyak 93 peratus daripada 43 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 ATR telah diluluskan untuk destinasi antarabangsa sementara baki 26 ATR lagi diluluskan untuk destinasi domestik, menunjukkan kadar permohonan ATR telah meningkat sebanyak 233 peratus berbanding dengan 12 permohonan ATR yang diterima pada tempoh suku tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan permohonan untuk perkhidmatan kargo udara berjadual dan laluan domestik baru.

Daripada 40 peruntukan ATR yang diluluskan bagi tempoh suku tahun keempat 2020, 26 adalah bagi destinasi domestik dan 14 untuk destinasi antarabangsa.

Menurut Mavcom, kelulusan ATR untuk destinasi antarabangsa termasuk empat destinasi di negara China, dua untuk destinasi Eropah, dua untuk destinasi India dan selebihnya enam ATR diluluskan untuk destinasi Asia yang lain.

Peruntukan ATR berdasarkan lapangan terbangan adalah seperti berikut: 17 peruntukan untuk penerbangan berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), enam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), lima peruntukan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu (BKI) dan juga 12 dari lapangan terbang domestik yang lain.

Katanya, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima kelulusan tertinggi sebanyak 11 ATR, diikuti oleh AirAsia Group yang menerima 10 ATR.

MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. pula menerima sembilan ATR, manakala Raya Airways Sdn. Bhd. menerima sebanyak enam ATR dan Fly Firefly Sdn. Bhd. menerima empat ATR.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun pemulihan industri penerbangan akan mengambil masa, namun demikian masih terdapat ruang untuk pertumbuhan daripada segmen kargo.

”Pihak kami dapat melihat segmen kargo berkembang seiring dengan keperluan logistik dan pemain industri tempatan mengambil peluang untuk memenuhi keperluan baru ini.

“Sebagai pengawal selia ekonomi industri penerbangan, suruhanjaya maklum akan cabaran yang dihadapi oleh syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan sedar akan keperluan untuk membantu syarikat penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya.

”Justeru itu, berkuatkuasa 4 Jun 2020, Mavcom telah memberikan penangguhan sementara syarat pembatalan ATR secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan ATR,” katanya.

Tambah beliau, penangguhan syarat tersebut untuk meringankan beban pentadbiran yang dihadapi serta membolehkan syarikat-syarikat penerbangan untuk terus memegang ATR sedia ada.

Berikutan itu, tiada ATR yang tamat tempoh dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 dan Mavcom akan terus berusaha untuk membantu memulihkan semula industri penerbangan. – MalaysiaGazette