Kelihatan sebuah premis mula ditutup selepas Majlis Perbandaran Tawau mengeluarkan notis perubahan dan menghadkan masa operasi kedai makan serta restoran bermula 6 pagi hingga 6 petang berkuatkuasa pada 21 September bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Sekitar Bandar Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga jam 10 malam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kelonggaran waktu operasi sektor ekonomi itu akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak.

Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam telah menyukarkan banyak pihak.

Mahdzir Khalid

“Saya berpandangan bahawa ada kewajaran untuk kerajaan mengkaji semula syarat itu yang sememangnya agak menyukarkan banyak pihak.

“Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes-kes Covid-19 amat membimbangkan, tetapi saya yakin dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak, kita dapat mengelakkan restoran dan kedai makan menjadi kluster jangkitan Covid-19 kerana mereka hanya menjual secara tempahan dan dihantar oleh pekerja penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau, penutupan restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam menyebabkan orang ramai terutama yang baru pulang dari bekerja, tidak sempat untuk membeli juadah makan malam.

Selain itu, pendapatan bagi pekerja penghantaran juga susut mendadak kerana kekurangan tempahan yang diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan selepas jam 8 malam.

“Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran dan kedai makan terjejas, pendapatan pekerja penghantaran terjejas kerana bagi saya waktu antara 8 malam hingga 10 malam itu adalah waktu perdana bagi orang ramai untuk mendapatkan makanan untuk makan malam”.

Katanya lagi, kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu akan memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.

”Berilah sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga jam 10 malam. Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette