Stuart Ramalingam.

KELANA JAYA – Seramai 19 orang pengadil dari Malaysia dipilih Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA pada tahun ini.

Mereka yang terpilih terdiri daripada lima pengadil, sembilan penolong pengadil termasuk seorang wanita, tiga pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, bagi kategori pengadil, lima individu berkenaan ialah Mohd Amirul Izwan Yaacob yang merupakan Pengadil FIFA sejak 2012, Mohd Nazmi Nasaruddin (sejak 2016), Suhaizi Shukri (sejak 2011), Razlan Joffri Ali (sejak 2018) dan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (sejak 2019).

Katanya, kategori penolong pengadil dibarisi Mohd Yusri Muhamad, Mohd Muazi Zainal Abidin, Mohd Shahreen Che Omar, Mohd Harif Md Akhir, Mohd Arif Shamil Abd Rasid, Mohd Zairul Khalil Tan, Mohd Farhan Abdul Aziz, Muhamad Shafiq Ahmad Said dan seorang penolong pengadil wanita, Nur Akmal Anuar.

“Tiga pengadil futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Mohd Ridzuan Rozali dan Mohd Norafendy Norhayalan manakala dua pengadil bola sepak pantai menampilkan Suhaimi Mat Hassan dan Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.

“Di samping itu, katanya, Mohd Amirul Izwan telah ditauliahkan untuk dilantik sebagai Pegawai Video Perlawanan (VMO), manakala Mohd Yusri telah memperoleh tauliah sebagai penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Untuk makluman, bagi seseorang pengadil itu dilantik menjadi VAR, mereka harus mengikuti kursus dan perlu ditauliahkan oleh panel VAR dari FIFA sebelum boleh dilantik menjadi VAR atau AVAR dan begitu juga dengan pengadil dan penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan VAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Stuart, Mohd Amirul Izwan, 35, yang menetap di Ipoh, Perak merupakan seorang pegawai polis di Pasukan Gerakan Am dan sejak dipilih oleh panel FIFA pada 2012 beliau telah mengadili perlawanan dalam beberapa kejohanan utama seperti Piala Dunia B-17 2015 di Chile, Kejuaraan B-19 AFC 2014 di Myanmar dan juga Final Liga Juara-Juara AFC 2020 selaku Pembantu VAR.

Menurut beliau, FAM sentiasa mendokong aspek pembangunan pengadil dari semua peringkat kerana percaya pengadil merupakan nadi kepada pembaharuan pembangunan bola sepak melalui DNA Peta Hala Tuju F:30 yang telah dirangka oleh FAM.

Jelas beliau, setiap peluang pembangunan dan ruang kerjasama akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat pengadil-pengadil Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pengadil-pengadil tersohor dari persada dunia.

Stuart turut memaklumkan bahawa berpaksikan falsafah DNA F:30 itu, FAM telah memberi tumpuan kepada semua kategori pengadilan termasuk futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil wanita.

“Helday sebagai contoh, seorang anggota polis Inspektor sebagai Pengadil Futsal yang sentiasa mendapat kepercayaan AFF dan AFC bagi kejohanan-kejohanan futsal serantau Asia.

“Beliau menyatakan bahawa tugasannya sebagai seorang Inspektor Polis membantu beliau dalam memahami karakter seseorang pemain dalam gelanggang. Ini secara tidak langsung membantu beliau mengadili perlawanan dengan berkesan,” katanya.

Stuart menambah, pengadil bola sepak pantai pula menampilkan wajah yang tidak asing di persada bola sepak pantai dunia iaitu Suhaimi yang telah mengadili empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011, 2013, 2015 dan 2019 di Paraguay yang mana beliau terpilih mengadili pada pertemuan perlawanan akhir antara Itali dan Portugal.

Jelasnya lagi, kepakaran Suhaimi dalam arena bola sepak sentiasa ditagih di peringkat antarabangsa dan disiplin diri serta fokus merupakan aspek yang sentiasa menjadi azimat beliau dalam karier pengadilan. – MalaysiaGazette