Ramli Mohd Tahir.

KUALA LUMPUR – Bantuan bakul makanan akan diagihkan kepada 8,432 pekerja Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) yang bertugas di lapangan.

Pengarah urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, antara pekerja yang akan menerima bantuan ini adalah kru kutipan, pembersih awam dan pemandu lori melalui pejabat cawangan bermula minggu hadapan.

“Sebanyak RM100,000 sumbangan beras telah diberikan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bekerja selama 365 hari dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan dibuat mengikut jadual demi menjamin kebersihan persekitaran.

“Diharap dengan sumbangan kecil ini dapat memberi semangat baharu kepada golongan tersebut yang juga dianggap petugas barisan hadapan untuk terus bekerja susulan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya menyambut baik komitmen Kerajaan Selangor dalam meringankan beban golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga akan melihat bentuk bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada mereka sekiranya PKP dilanjutkan,” ujarnya. -MalaysiaGazette