Ketua Badan Pimpinan Negeri PPBM Wilayah Persekutuan, Muhammad Suhaimi Yahya

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat terutamanya menerusi Pakej Bantuan Khas (PERMAI) banyak memberi manfaat khususnya kepada penduduk yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, inisiatif tersebut sememang banyak membantu rakyat yang mengalami kesukaran ketika pandemik Covid-19.

“Inisiatif seperti lanjutan moratorium serta pengurangan ansuran pinjaman yang ditawarkan oleh bank- bank, moratorium PTPTN, kelulusan i-Sinar untuk lebih tiga juta pemohon serta bayaran fasa terakhir BPN 2.0 yang akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari ini, sesungguhnya banyak memberi manafaat
kepada rakyat Malaysia terutamanya penduduk-penduduk bandar-bandar besar seperti Wilayah Persekutuan

“Manakala, Program Subsidi Upah 3.0 dilihat sebagai salah satu inisiatif yang amat baik oleh kerajaan terutamanya bagi membantu peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang amat terkesan akibat Covid-19 ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata, pihaknya turut melihat bantuan RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi serta pemandu bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing sebagai satu komitmen kerajaan dalam memastikan bahawa tiada satu sektor pun ketinggalan dalam usaha Kerajaan membantu kesemua warga Malaysia dalam waktu-waktu sukar
ini.

Justeru katanya, BPNWP dengan ini memberi seluruh komitmen dalam memastikan bahawa Pakej-Pakej Bantuan ini mencapai golongan yang disasarkan dalam membantu Rakyat menghadapi pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette