KUALA LUMPUR – Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) mengesahkan kes keempat Covid-19 dalam kalangan kakitangannya yang bertugas di Pejabat Laut Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Menurut kenyataan JLWS, kakitangan berkenaan juga merupakan kontak rapat staf Sistem Trafik Perkapalan (VTS) Tanjungg Piai yang positif wabak berkenaan.

“Berdasarkan maklumat daripada Ketua Pejabat Laut PTP, terdapat sembilan orang kakitangan yang bertugas dan lapan orang daripadanya merupakan kontak rapat (kes ke-4) dan telah diarah kuarantin kendiri di rumah serta merta sehingga selesai penilaian risiko dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) / Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas JLWS.

Operasi Pejabat Laut Tanjung Pelepas akan diambilalih serta merta oleh Pejabat Laut Puteri Harbour atau mana-mana Pejabat Laut yang berhampiran.

“Bayaran Permit Petroleum, permohonan boleh dibuat di Pejabat Laut Puteri Harbour. Urusan Pelaut – Sign on /off dan urusan perjanjian anak kapal (crew article) bagi kapal berbendera Malaysia adalah secara atas talian (sistem SDPx).

“Bagi urusan permohonan Perakuan Kekompetenan(COC), kad pelaut, Perakuan Pengiktirafan(COR), Perakuan Kecekapan (COP) permohonan boleh dibuat di Pejabat Laut Pasir Gudang atau Mersing.

Menurut kenyataan itu, bagi pertukaran krew warga asing permohonan boleh dibuat di Pejabat Laut Puteri Harbour.

Permohonan Pelepasan Pelabuhan (Surat Izin Belayar) dan urusan lain adalah secara atas talian, tambah kenyataan itu.

PTP akan ditutup mulai semalam hingga 26 Januari ini. -MalaysiaGazette