Bangunan baharu milik Serum Institute of India yang terbakar. foto Agensi

PUNE – Lima orang terbunuh dalam kebakaran yang berlaku di kawasan di sebuah bangunan yang sedang dibina di Serum Institute of India, pengeluar vaksin terbesar di dunia.

Kebakaran bermula di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan petang Khamis.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah bangunan di tapak pembinaan yang luas.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar vaksin itu mengesahkan pengeluarannya tidak terjejas.

Punca kebakaran belum diketahui tetapi api berjaya dikawal.

”Kami baru saja menerima maklumat yang menyedihkan, ada beberapa nyawa hilang dalam kejadian itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Serum Institute, Adar Poonawalla menerusi Twitter.

Poonawalla memberitahu, kejadian itu tidak menjejaskan pengeluaran vaksin Oxford-AstraZeneca yang dikenali sebagai Covishield kerana mempunyai kemudahan lain.

Covishield adalah salah satu daripada dua vaksin yang diluluskan oleh pemerintah India untuk digunakan dalam program inokulasi, yang bermula minggu lalu dan merupakan yang terbesar di dunia.

Negara ini mensasarkan untuk melakukan vaksinasi ke atas 300 juta orang pada awal Ogos.

Banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana lain juga bergantung kepada institut serum ini untuk pengeluaran vaksin Oxford-AstraZeneca. – MalaysiaGazette