Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) bekerjasama untuk menghasilkan single berjudul We Care.

KUALA LUMPUR – Demi membangkitkan semangat memerangi penularan pandemik Covid-19, syarikat muzik Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) bekerjasama untuk menghasilkan single terbaru yang bakal dilancarkan pada bulan ini.

Selain itu larian maya dan konsert siaran langsung bakal diadakan pada April ini.

Kolaborasi istimewa bersama Allianz We Care Community ini bakal dimulakan dengan pelancaran sebuah lagu khas daripada Universal Music Malaysia berjudul We Care dan ia juga merupakan satu inisiatif yang memberikan perlindungan Covid-19 dan manfaat penjagaan kesihatan percuma kepada pelanggan Allianz Malaysia dan juga mereka yang bukan pelanggan.

Lagu We Care dipersembahkan secara eksklusif oleh penyanyi dwibahasa terkenal Malaysia iaitu Alvin Chong, kumpulan pop yang sedang meningkat naik Dolla, bintang pop Thai-German, Jannine Weigel dan penyanyi lagu Mandopop Malaysia, Nicole Lai.

Lai yang menandatangani kontrak bersama Universal Music pada Oktober 2020 turut menyumbangkan sentuhan kreatifnya dengan menulis lirik Mandarin dalam projek pertama bersama Universal Music Malaysia ini.

Alvin Chong.

We Care juga merupakan lagu pertama bagi kesemua anggota Dolla untuk menyerlahkan bakat rap mereka.

Lagu itu diinspirasikan oleh situasi pandemik 2020 yang telah mengubah kehidupan masyarakat seluruh dunia. Sokongan sesama masyarakat adalah sangat penting pada masa ini dan lagu itu diharapkan dapat memperkukuhkan semangat pendengar untuk terus cekal dan tabah.

Menterjemahkan mesej positif menerusi lagu ini, Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia juga berharap ia akan menginspirasi orang ramai untuk tidak berputus asa dalam menentang pandemik dan terus menyokong satu sama lain dalam tempoh sukar ini.

“Kolaborasi ini merupakan kerjasama strategi kreatif pertama yang mengetengahkan bakat artis-artis kami dalam menyalurkan kekuatan kepada orang ramai terutamanya dalam masa yang tidak menentu ini, menerusi suara mereka dalam sebuah lagu khas yang dihasilkan oleh produser muzik bertaraf ‘multi-platinum’, Bryan B.

“Dengarkan single terbaru ini di platform penstriman digital (DSP) pilihan anda,” kata Pengarah Kanan Perniagaan Baru dan Selebriti 360 Universal Music Malaysia, Kim Lim.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross, sebagai penanggung insurans, pihaknya sentiasa meneliti peranan kami dalam kehidupan pelanggan.

“Matlamat Allianz We Care Community adalah untuk memupuk dan membina komuniti inklusif yang berdaya tahan dalam menangani situasi mencabar dan sentiasa ada bersama rakyat Malaysia ketika mereka memerlukan bantuan.

“Lagu We Care merupakan salah satu inisiatif baru yang diilhamkan daripada aspirasi untuk memupuk semangat positif dalam masa yang tidak menentu ini,” katanya.

Dolla dianggotai oleh Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel.

Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, We Care dilancarkan di platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer pada 15 Januari lalu.

Untuk merancakkan lagi video muzik rasmi We Care yang akan ditayangkan pada Februari 2021, Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia memberi peluang kepada dua orang pemenang istimewa untuk tampil dalam video muzik tersebut bersama keempat-empat penyanyi hebat ini.

Orang ramai boleh berkongsi kisah Covid-19di (http://umusic.digital/sharethecare/) dan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada bintang video muzik tersebut.

Semua peserta akan menerima perlindungan Covid-19 percuma di bawah Allianz We Care Community dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain daripada kolaborasi lagu ini, Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia juga akan menganjurkan larian maya We Care dan konsert siaran langsung pada bulan April 2021 yang mana hasil daripada kutipan larian maya ini akan disalurkan kepada organisasi amal.

Untuk maklumat lanjut, ikuti @universalmuzikMY dan @AllianzMalaysia di Facebook, serta @universalmusic_my dan @allianzmalaysia di Instagram. – MalaysiaGazette