KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk meneruskan peperiksaan utama tahun 2020 dengan mengambil kira persediaan pelajar dan jumlah kes Covid-19 yang melanda negara.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Mohamad Khairuddin Zahari mendesak KPM agar lebih pantas dan tuntas dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik ini.

Malah, KPM juga perlu lebih responsif lebih responsif terhadap isu-isu yang dibangkitkan apabila melibatkan ramai pihak seperti ibu bapa, guru dan pelajar di media sosial.

PEPIAS mengkritik tindakan KPM yang mengeluarkan dua kenyataan media dalam masa yang terdekat dan mengubahnya secara drastik, yang mana murid-murid sekolah seluruh negara diarahkan untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPDR) pada 20 Januari 2021 kecuali bagi calon peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020.

”Pengumuman yang hanya terjadi 4 hari sebelum sekolah dibuka ini dilihat sebagai keputusan yang terlalu lewat dan melibatkan ramai pihak pada saat-saat akhir, malah ramai ibu bapa yang sudah bersiap untuk perlengkapan anak mereka terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

”Perkara yang sama terjadi kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang juga terkesan dengan keputusan saat akhir ini apabila PdP diputuskan untuk dijalankan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Khairuddin turut mencadangkan KPM mewajibkan pelajar untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan ke sekolah.

”Kami turut mencadangkan perkara yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada semua pelajar sebelum dibenarkan untuk ke universiti pada bulan Mac 2021 nanti.

”Di samping itu juga, KPT juga perlu menubuhkan jawatankuasa bebas khas meliputi pelbagai pihak termasuk persatuan pelajar dan mahasiswa bagi perbincangan mengenai urus tadbir IPT ini,” ujarnya.

Tambah beliau, PEPIAS percaya proses semak dan imbang ini penting dalam memastikan keputusan yang dicapai lebih yakin, inklusif dan prihatin rakyat.

KPM dan KPT sebagai kementerian yang penting kepada pembangunan modal insan di negara ini perlu menjadi lebih responsif, terbuka dan membuat keputusan tanpa terkesan dengan keadaan politik semasa. – MalaysiaGazette