Judi Online mensasarkan pasaran Korea menggunakan Telegram oleh lima suspek lelaki tempatan berjaya diberkas polis dalam serbuan di kondominium mewah di Seputeh petang semalam.Foto: Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket judi atas talian yang mensasarkan rakyat Korea Selatan dengan tertangkapnya lima lelaki tempatan pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisiober Anuar Omar berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan yang dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields dan kontinjen Kuala Lumpur di sebuah kondominium mewah di Seputeh pada petang semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya merampas empat buah telefon bimbit, enam set monitor komputer, tiga buat Unit Pemprosesan Pusat (CPU), tiga unit papan kekunci jenama Logitech, tiga unit tetikus jenama Logitech, satu kad akses; dan dua unit modem,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut, ujar beliau, polis mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti judi atas talian yang disasarkan warga Korea Selatan.

“Suspek menggunakan (aplikasi )Telegram dan beroperasi 24 jam setiap hari untuk mendapatkan pelanggan judi.

Menurut Anuar, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan suspek yang berumut antara 25 hingg 40 tahun itu akan direman hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perjudian haram boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette