Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan sebanyak 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC – Covid-19 Assesment Centre) di seluruh negara.

Penubuhan CAC berkenaan bertujuan bagi mengendalikan penilaian pesakit yang menjalani rawatan di rumah masing-masing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah CAC tersebut, sebanyak 40 telah ditubuhkan di Sarawak.

“Manakala 30 diwujudkan di Pulau Pinang, 25 di Sabah, 19 di Selangor, 14 di Kelantan, 13 di Terengganu dan masing-masing 11 CAC di Perlis, Kedah, Perak, Pahang.

“Seterusnya 10 CAC ditubuhkan di Johor, tujuh di Negeri Sembilan dan masing-masing lima di Melaka dan Kuala Lumpur serta Putrajaya dan satu di Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adham, CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit Covid-19 untuk menentukan pengurusan pesakit termasuk kelulusan rawatan di rumah.

Menurutnya, secara amnya, satu daerah mempunyai satu CAC, dan ada kemungkinan wujudnya dua atau lebih CAC bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan di sesebuah daerah itu.

“Pusat CAC ini akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah yang mana petugas CAC itu kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Home Assessment Tool (HAT).

“Pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.

“CAC juga akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan tidak sesuai dipantau dari rumah,” ujarnya.

Dalam perkara sama beliau memberitahu, CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital.

Katanya, setiap CAC di peringkat daerah diketuai oleh seorang koordinator dan orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang akan dinyatakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

“Justeru dengan langkah-langkah tersebut, Kementerian Kesihatan menyeru supaya kita bersama-sama memerangi penularan Covid-19, secara bersepadu.

“KKM menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah-langkah seterusnya yang mesti dipatuhi dan diamalkan oleh pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah,” tegasnya.-MalaysiaGazette