Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) dijadualkan bermesyuarat pada 28 Feb ini bagi membincangkan isu-isu berkaitan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tentang meringankan beban sara hidup mereka.

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan darurat akan memperkukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP untuk mengawal penularan Covid-19.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai penularan Covid-19sehingga pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

“Sebagai salah satu jabatan di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia, Proklamasi Darurat diyakini dapat memperkukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan PKP dalam menangani ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Proklamasi Darurat ini dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk memperuntukkan kuasa-kuasa perlu bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan serta mengambil pendekatan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, pendekatan yang dilaksanakan itu akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan
rakyat yang makmur dan sejahtera.

Dengan pengumuman itu, ujarnya, peranan pihaknya berjalan seperti biasa termasuk penyaluran bantuan kebajikan, pengurusan faedah persaraan dan perubatan serta segala bentuk urusan berkaitan hal ehwal veteran ATM dengan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalam PKP.

“JHEV ATM memberi jaminan bahawa jabatan ini akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada Veteran ATM tidak akan terjejas serta berteraskan undang-undang dan dasar Kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“JHEV ATM juga percaya bahawa warga Veteran ATM akan terus menjunjung taat setia kepada Seri Paduka Baginda dan memahami keperluan pengisytiharan proklamasi darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette