Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diakui sebagai sistem percukaian paling telus.

Perkara itu diakui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau yang merupakan Presiden PKR berkata, jika ia mahu dikembalikan kajian semula perlu dibuat.

“Saya akui GST satu sistem percukaian dianggap paling telus. Kalau pun nak (laksanakan) GST, harus kaji semula,” katanya dalam bual bicara Minda Profesor Negara edisi bicara negarawan, hri ini.

Anwar berkata, jika GST mahu dilaksanakan semula ia mesti ada pengecualian dan syarat lebih ketat.

“Tidak boleh GST seperti diperkenalkan. Kalau pendapatan bertambah tetapi ia mendera rakyat miskin,” ujarnya.

Pada 29 Disember lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Abd Rahim Bakri berkata, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan negara.

Menurut Rahim, hasil pendapatan negara berkurangan apabila cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Dalam pada itu, Anwar berkata, GST boleh dilaksanakan sebaik ekonomi dipacu dengan lebih yakin dan pendapatan rakyat meningkat, namun ia bukan perkara yang perlu disegerakan. – MalaysiaGazette