Sebahagian dari ribuan penganut Hindu yang hadir bagi melaksanakan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2019

Bismillahir Rahmanir Rahim ertinya “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang”.

Sebagai umat Islam, kita diseru sentiasa untuk mengingatiNya dalam apa jua keadaan pada setiap hari. Adalah diharapkan dengan mengingati Allah SWT, kita juga mengintai sifat-sifatNya yang pengasih dan penyayang. Inilah sifat-sifat yang amat penting terutamanya bila kita hidup sesama manusia dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan menganuti pelbagai agama.

Malaysia adalah sebuah negara bertamadun, beragama dan majmuk dari segala ciri dan berbeza dengan negara lain. Malah, negara ini dilindungi oleh Allah SWT, bertahun selamat daripada bencana alam yang keterlaluan, bebas dari kemiskinan melampau, bebas dari gejala sosial yang berleluasa seperti di sesetengah negara lain. Pendek kata, bumi Malaysia ini dilindungi oleh Allah SWT. Justeru, dengan semua nikmat yang diberikan Allah SWT ini, kita memilih pemimpin dengan meletakkan harapan bahawa mereka mempunyai sifat-sifat  seperti yang disebut di atas iaitu belas kasihan dan kasih sayang untuk menerajui negara.

Menyentuh mengenai kepimpinan, dari sebelum Merdeka lagi kita dikurniakan dengan pemimpin yang bijaksana dari kalangan pelbagai agama dan kaum dan inilah kekuatan Malaysia yang diiktiraf kawan dan lawan. Kita tidak perlu pedoman selain daripada mengambil contoh kepimpinan Rasulullah SWT dan para sahabat beliau. Masyarakat Islam sebagai majoriti di negara ini perlu mengambil iktibar dan mempertahankan semangat bersatu padu antara satu sama lain bagi memastikan perpaduan, keamanan dan ketenteraman yang dinikmati dari zaman sebelum merdeka tidak tergugat.

Jangan hanya kerana ada anasir jahat seperti politikus yang menghasut, kita semua turut beremosi dan memusnahkan keharmonian yang ada. Melihat kepada senario semasa di Kedah, makin hari makin ganjil keputusan-keputusan yang dibuat oleh YAB Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah. Makin jauh beliau dari contoh-contoh kepimpinan bijaksana yang kita sudah biasa di bumi yang dicintai ini. Sebagai seorang Muslimin, apa yang dilafazkan dan dibuat oleh YAB Menteri Besar Kedah amat menyedihkan. Ini kerana beliau mewakili parti politik yang sepatutnya memperjuangkan contoh-contoh yang disediakan oleh Baginda SAW dan para sahabatnya.

Terkini, isu pembatalan cuti perayaan Thaipusam di Kedah yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah menjadi perhatian ramai. Di Malaysia, kaum India yang beragama Hindu hanya mempunyai dua perayaan di mana mereka diberi cuti umum iaitu Hari Deepavali dan Hari Thaipusam. Di sini, saya tidak nampak di mana ruginya YAB Menteri Besar Kedah sekiranya membenarkan mereka yang menyambut Thaipusam diberi cuti yang sebelum ini telah pun diiktiraf oleh Negeri Kedah dan beberapa negeri lain di Malaysia.

Adakah YAB Menteri Besar Kedah telah menyelesaikan segala masalah di Kedah sehingga merasakan beliau ada banyak masa untuk terus mengguris hati warga Malaysia yang pelbagai kaum? Kedah mempunyai pelbagai masalah sosial antara yang paling tinggi di Malaysia, peningkatan anak tak sah taraf, jumlah pelajar ponteng sekolah paling tinggi, salah guna dadah serta pelbagai lagi isu dan ini semua berlaku sebelum Covid-19 melanda negara. Kini dengan kemuruduman ekonomi, peningkatan kes positif Covid-19 di Kedah dan jumlah warga Kedah yang kehilangan kerja makin meningkat, adakah YAB Menteri Besar perlu mencari dan mewujudkan masalah yang baru? Tidak cukupkan dengan masalah sedia ada?

YAB Menteri Besar Kedah seharusnya memahami keperluan dan ciri-ciri seorang pemimpin dalam sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian kaum. Beliau seharusnya mengelak dari mengguris hati rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Malah, perlu diingatkan juga bahawa kekuatan kita adalah kepelbagaian yang ada di negara ini. Janganlah kita mencontohi apa yang sedang berlaku di beberapa negara Timur Tengah di mana umatnya hampir keseluruhan Islam tetapi mereka tidak henti-henti bergaduh sesama sendiri.

Saya menyeru kepada YAB Menteri Besar Kedah, contohilah pengajaran daripada sirah Baginda SAW yang mana beliau telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar dalam peristiwa Hijrah dan menjadikan Piagam Madinah sebagai tunjang pentadbiran dalam masyarakat berbilang kaum.

Kami sebagai Muslimin di Malaysia turut menyeru agar YAB Menteri Besar Kedah menyelami nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah bahawa sepatutnya semua pemimpin mengambil pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam mentadbir negara berbilang bangsa untuk memupuk perpaduan rakyat. Baginda bertitah bahawa saling menghormati dan menyayangi serta keadilan berteraskan syariat islam adalah dua aspek yang menunjangi pentadbiran Baginda Rasulullah. Baginda turut menyarankan supaya semua pemimpin akan sentiasa mengambil pendekatan menjaga hak penganut berbilang agama dan bangsa, di samping berterusan membantu golongan yang lemah.

YAB Menteri Besar, saya mohon YAB diberi hidayah daripada Allah SWT, dibuka hati dan mata YAB supaya memahami tanggungjawab YAB sebagi pemimpin Islam kerana apa sahaja yang dilakukan oleh YAB akan memberi kesan kepada warga Islam di Negara ini. Saya akan sentiasa mendoakan YAB. “Ya Allah, perbaikilah para pemimpin kaum muslimin, berilah mereka taufik-Mu hingga mereka bersikap adil terhadap rakyat mereka, dan dapat berbuat baik kepada mereka, bersikap lembut kepada mereka, mahu mendengar keluhan mereka, dan memerhatikan maslahat mereka, buatlah mereka agar mencintai rakyatnya dan buatlah rakyat agar mencintai mereka. Berilah mereka taufik-Mu agar tetap berada di jalan-Mu yang lurus, dan senantiasa mengamalkan ajaran agama-Mu yang lurus” Amin.

Saya akhiri dengan sedikit nasihat kepada YAB Menteri Besar Kedah. Tidak perlu YAB mencari gaduh dengan pemimpin parti lain untuk disegani ahli parti sendiri, tidak payah YAB bergaduh dengan warga minoriti Kedah untuk disayangi atau dihormati oleh warga majoriti di Kedah dan tidak perlu memburukkan kaum lain untuk menjadi juara kaum sendiri. Utamakan membuat baik untuk semua, utamakan kebajikan semua dan sentiasa menjaga tutur kata diri sendiri agar disegani kawan dan lawan.

PAS kini sedang berada dibawah lampu ‘spotlight’ dengan pelbagai persoalan. Bolehkah PAS memimpin negara majmuk di alaf ini? Bolehkah PAS berganding bahu dengan kepimpinan berlainan kaum dan agama untuk memajukan negara? Salah langkah YAB Kedah akan membawa padah kepada PAS.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memuji pendekatan yang diambil oleh YB Saravanan yang telah menegur kepimpinan negeri dengan cara baik, ini contoh seorang pemimpin yang sudah biasa bekerjasama dengan kepimpinan pelbagai kaum dan agama. Saya berharap YAB Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah cepat belajar cara memimpin sebuah negeri pelbagai kaum dan agama supaya tidak memudaratkan peluang PAS untuk terus memimpin di Kedah dan peringkat Persekutuan.

Sekian, terima kasih.

Abdullah Khamis bin Ariff Badawi
Hamba Allah dari Sungai Petani Kedah