Datuk Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Gerakan menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-15.

Pemilihan parti juga terpaksa ditangguh untuk memberi laluan kepada pengumuman darurat sehingga Ogos tahun ini oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat hari ini juga sebulat suara bersetuju melakukan persediaan serta kestabilan dalaman parti bagi menghadapi PRU-15.

“Oleh yang demikian kita akan tangguhkan pemilihan parti sehingga selepas PRU-15 nanti.

“Manakala Persidangan Perwakilan Nasional 2020 yang dijadual pada 13 Mac ini pula akan mengikut garis panduan Covid-19 serta norma baharu seandainya mendapat kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setiausaha Agung Gerakan akan menulis (surat) kepada MKN bagi mendapatkan kebenaran itu berikutan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengumuman darurat ketika ini,” katanya melalui aplikasi Zoom.

Dalam pada itu, Gerakan juga telah melancarkan laman sesawang yang memberi tumpuan untuk umum memahami ideologi serta perjuangan parti tersebut.

Selain itu, ia direka khas untuk bagi masyarakat umum mendekati Gerakan bagi tujuan mendapatkan bantuan serta pertanyaan khasnya ketika pandemik ini. – MalaysiaGazette

MGNews : Persidangan Gerakan Ikut Arahan MKN Patuhi SOP – Dominic Lau