Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memohon agar arahan saringan terhadap pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan supaya tindakan pengesanan kontak dan rawatan dapat dilaksanakan bagi memutuskan rangkaian jangkitan virus COVID-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 20 Januari lepas mendapati daripada 128,889 pekerja asing yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 7 Disember lepas di Pulau Pinang, hanya 19,792 orang telah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Sebagai tambahan, pada tempoh masa sama juga 13,336 pekerja asing telah disaring hasil inisiatif majikan sendiri menjadikan jumlah telah disaring kini ialah 33,128 orang. Ini menjadikan kadar positif (kadar jangkitan) berjumlah 3.22 peratus. Justeru tindakan proaktif perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata data JKNPP juga menunjukkan peratusan pecahan kes COVID-19 mengikut sektor pekerjaan adalah 49 peratus daripada pekerja kilang dan industri, pekerja tapak binaan sebanyak 3 peratus manakala  lain-lain pekerjaan serta tidak bekerja adalah 30 peratus.

“Kita mahu melihat kerajaan Persekutuan yang diberi kuasa Darurat dapat meningkatkan sumber aset dan tenaga bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan rakyat negeri Pulau Pinang secara lebih berkesan,” katanya. – Bernama