Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan untuk mengaktifkan semula Majlis Halal Malaysia (MHM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu dilihat perlu bagi kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan kartel daging import di negara ini.

“Saya telah mengarahkan JAKIM untuk mengaktifkan kembali Majlis Halal Malaysia dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya hari ini.

Zulkifli berkata, langkah itu diambil selepas mengadakan perbincangan agensi berkaitan isu isu kartel daging import haram pada 5 Januari dan satu pertemuan bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging pada 11 Januari lalu.

Pada tahun 2016 lalu, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan MHM adalah bertujuan sebagai entiti khas yang menyelaras semua agensi yang terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia peneraju halal global.

MHM ditubuhkan selepas Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Indistri Halal dibubarkan pada tahun itu.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan isu kartel daging import selepas media melaporkan taktik kartel menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Sehigga kini, lima penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Johor telah direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kartel daging sejuk beku import berkenaan. – MalaysiaGazette