Haqiem Rusli.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Haqiem Rusli terus melakar kejayaan apabila video muzik single solo terbaharunya, Mimpi kini trending nombor satu dalam YouTube.

Selepas dilancarkan awal bulan ini, Mimpi yang juga runut bunyi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan, Bidadari Salju telah mencatatkan hampir empat juta tontonan dalam laman perkongsian video tersebut.

Mimpi merupakan lagu ciptaannya bersama Datuk A. Aida dan merupakan single ke-14 oleh Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) itu.

Haqiem yang mula dikenali dengan lagu Segalanya dan Tergantung Sepi kini makin berani dan yakin mengetengahkan lagu ciptaan beliau sendiri untuk dipersembahkan buat semua peminat selepas lagu Bangkit, Lembah Kesepian, Qiemillio dan What Can I Do For U.

Jejaka berusia 23 tahun yang pertama kali bekerjasama dengan A. Aida berkata, beliau suka dengan semangat dan kesungguhan wanita itu bekerja.

“Ini pengalaman pertama saya berkerja dengan Datuk A. Aida  di dalam studio, saya suka semangat dan kesungguhan beliau sewaktu bekerja. Saya kagum dengan beliau. Bukan sahaja wanita yang berjaya dalam perniagaan malah ibu tunggal yang gigih tanpa kenal erti putus asa,” katanya.

Dalam pada itu, bila ditanya tentang harapannya untuk lagu Mimpi, Haqiem berharap lagu tersebut mampu mencatat lebih 20 juta tontonan mengatasi lagunya sebelum ini, Selamat Tinggal Sayang.

Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli merupakan artis naungan syarikat rakaman FMC sejak 2016. – MalaysiaGazette