nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersedia membantu kerajaan meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan budaya hubungan songsang.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan membantu menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dalam negara ini sebagai satu usaha dakwah.

Sebelum ini, pihaknya telah mengadakan wacana bersama MACSA yang dipengerusikan oleh Lukman Sherif dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar untuk mencari langkah terbaik menangani isu ini termasuklah menerima maklum balas
dari para intelek pelbagai agama seperti Kristian, Budha dan Hindu.

Dalam pada itu beliau juga menyokong usaha kerajaan untuk meminda undang-undang syariah dan menubuhkan jawatankuasa bertindak khas bagi menangani isu yang sama.

“Tentu sahaja dakwah tidak sekadar menyeru atau mengajak ke arah mentaati perintah Allah serta mematuhi syariat Nabi Muhammad secara lisan semata-mata. Bahkan perlaksanaan undang-undang yang menepati syariat serta pembentukan task force bagi mendidik dan membimbing masyarakat agar menjalani kehidupan patuh syariat serta mencegah LGBT dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Marzuk Shaary yang mahu undang-undang syariah berkaitan LGBT dipinda baru-baru ini.

Lagi pun, menurut Nasrudin, penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti LGBT dalam negara kita mutaakhir ini kian membarah.

“Ia wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah. Fenomena ini turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan
merosakkan nilai keperibadian individu, khasnya bagi mereka yang beragama Islam,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tukar jantina perlu dijadikan kesalahan dalam Undang-undang Jenayah Syariah – Ahmad Marzuk