KUALA LUMPUR – CGS-CIMB menyokong pemegang saham FGV Holdings Bhd menerima tawaran pengambilalihan saham oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Firma pembrokeran itu berkata, pada masa lalu, harga saham syarikat perladangan itu mendapat rangsangan daripada laporan media kemungkinan tawaran pengambilalihan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang membawa kepada jangkaan saham itu boleh dinilai semula hampir kepada nilai saksamanya pada masa itu

“Bagaimanapun, berikutan perkembangan terkini dan penguasaan lebih 50 peratus Felda dalam FGV, tawaran saingan bagi FGV tidak dijangkakan.

“Apungan bebas FGV juga akan turun selepas tawaran pengambilalihan. Oleh itu, kami cenderung menjangka tawaran itu diterima memandangkan peningkatan terhad paras harga semasa dan mengambil kira risiko,” kata CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada 22 Jan, penasihat bebas RHB Investment Bank berkata, harga RM1.30 sesaham itu “tidak adil tetapi berpatutan” tetapi mengesyorkan pemegang saham FGV menerima tawaran itu.

Bagaimanapun, pengarah tidak berkepentingan FGV menasihati pemegang saham menolak tawaran itu.

Mereka berkata, antara lainnya, harga tawaran berada di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM4.55 sesaham dan kualiti aset perladangan FGV telah bertambah baik dengan ketara sejak IPO.

CGS-CIMB berkata, nasihat yang bercanggah itu berkemungkinan disebabkan jangkaan berbeza terhadap prestasi harga saham FGV selepas tempoh tawaran berakhir.

Menurutnya, pengarah bebas FGV mungkin percaya harga saham akan meningkat susulan harga minyak sawit mentah dan profil usia estet yang bertambah baik.

RHB Investment Bank berkata, cadangan itu tidak adil kerana RM1.30 yang ditawarkan adalah rendah dan merupakan diskaun 8.5 peratus hingga 18.8 peratus berbanding jajaran anggaran nilai sesaham FGV yang  diperoleh menggunakan kaedah penilaian SOP antara RM1.42 dan RM1.60.

CGS-CIMB mengekalkan saranan “pegang” bagi saham FGV dan harga sasaran RM1.30 bagi mencerminkan harga tawaran pengambilalihan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Harga saham mana boleh dipaksa2. Ikut pasaran lah. Harga Ipo itu zaman orang gila yang letak harga tujuan nak tipu peneroka felda. Peneroka bila dah kena tipu masing2 diam tak terkata. Harap dapat seribu sebulan goyang kaki dah jadi bala.

  2. Bab ni kita kena tanya yg pakar. Sbb kalau tak silap, ada beza antara syarikat masuk bursa dan org yg beli saham tu.
    FGV masuk bursa dulu sbb dia nak kumpul modal banyak2. Dan dia mmg berjaya! Ini sbnrnya yg kita tak tahu. Masa dia listkan IPO dia, katakan rm3.50 seunit, diorg dah buat anggaran. Masa dia senaraikan saja masuk bursa, terus melonjak jd RM4.30 seunit. Ini bermaksud, masa fgv letak harga rm3.50 tu dia anggarkan dia cuma akan dapat kumpul rm350juta saja. Tp alih dpt rm430juta sbb org pulun beli. Jd berjaya la matlamat dia.
    Cuma kita pulak p beli saham yg tak berkualiti sbb dok rasa fgv bagus. Sekali management tak bagus, asik rugi, jd dividen saham dan value dia jatuh merudum.
    Jd FGV masuk bursa mmg langkah betul cuma org yg beli saham dia ja salah langkah sbb beli tanpa study prestasi syarikat.

Comments are closed.