Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memarahi seorang remaja kerana sering mengganggu anaknya cedera dipukul dengan fork lock yang diguanakan sebagai senjata.

Mangsa juga luka di bahagian atas kepala dan belakang badan akibat terkena pisau

Ketua polis daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata kejadian berlaku Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri semalam.

Katanya, ketika mangsa berusia 42 tahun itu berada di rumah, anak lelakinya telah menghubungi ibunya dan memberitahu telah diganggu oleh dua orang lelaki di salah sebuah blok di PPR itu.

“Mangsa telah turun ke bawah blok tersebut untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut mangsa, beliau didatangi seramai lebih kurang 30 orang lelaki tempatan dan berlaku pertengkaran mulut.

“Suspek telah menumbuk muka mangsa, memukul menggunakan fork lock dan mengacukan pisau ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat serangan itu, kata Eng Lai, mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri akibat dipukul menggunakan fork lock, luka di bahagian atas kepala dan belakang badan akibat terkena pisau sementara anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah beliau, ketua blok PPR berkenaan telah turun ke tempat kejadian dan kesemua suspek beredar.

Menurut Eng Lai, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa turun untuk mencari anaknya berusia 15 tahun yang ditahan oleh enam lelaki.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa telah menahan seorang lelaki remaja berusia dalam lingkungan 15 tahun dan memarahi remaja tersebut kerana selalu menganggu anak lelaki mangsa.

“Susulan daripada itu, pihak polis telah menahan dua orang pemuda berusia 14 dan 27 tahun  di flat perumahan yang sama pada hari ini untuk membantu siasatan.

“Suspek dewasa pula direman sehingga 28 Januari ini untuk membantu siasatan manakala, suspek remaja bawah umur itu pula telah dilepaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.

Eng Lai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan polis Sentul. – MalaysiaGazette