Ir. Suharto Mat Nasir

PASIR MAS – Sehingga kini tidak ada pakej bantuan dari kerajaan Pas Kelantan sebagai inisiatif meringankan beban rakyat yang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan pasca banjir.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap lepas tangan kerajaan negeri, Ketua Parti Putra Bahagian Pasir Mas, Ir. Suharto Mat Nasir berkata, negeri lain iaitu Selangor telah pun mengumumkan pakej bantuan sebanyak RM74 juta untuk rakyatnya.

“Selain bantuan itu, kerajaan negeri membuat pemotongan gaji Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai tinggi GLC.

“Sarawak pula telah mengumumkan pakej bantuan sebanyak RM405 juta untuk menjaga kebajikan rakyat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suharto berkata, kerajaan Pas Kelantan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan pakej bantuan kerana berdasarkan penyata Kewangan Negeri Tahun 2019, ia mempunyai lebihan sebanyak RM308 juta hasil penerimaan RM400 juta dari kerajaan pusat.

Beliau mengesa kerajaan Kelantan mengikut langkah negeri lain dengan memotong gaji Menteri Besar, anggota Exco, ADUN dan pegawai tinggi syarikat GLC negeri.

Katanya, dalam suasana peniaga menghadapi penurunan jualan yang teruk, inisiatif bantuan kewangan perlu dihulurkan kepada golongan itu.

“Sewa kedai semua peniaga dan bayaran parking kenderaan di pasar awam perlu dimansuhkan untuk tempoh beberapa bulan.

“Sewa kedai di premis milik kerajaan juga perlu dimansuhkan serta memberikan potongan diskaun untuk bayaran eletrik dan air,” katanya.

Beliau berkata, pakej bantuan perlu menyeluruh supaya rakyat Kelantan dapat manfaat bukan seperti pakej bantuan April 2020 yang lebih menumpukan kepada lantikan politik dan pejawat awam negeri sahaja. – MalaysiaGazette