Mohd Ariff Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Perak menyelar tindakan sesetengah pihak dalam parti itu mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dan meletakkan jawatan.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid menegaskan, ahli dan pemimpin UMNO perlu berfikir kesan kepada imej parti serta institusi presiden melalui kenyataan peribadi yang dikeluarkan.

Kata beliau, dalam keadaan negara menghadapi waktu yang sukar kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan kes Covid-19, seharusnya mereka menumpukan bebanan dihadapi rakyat, bukan mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan masyarakat.

Ujarnya, perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah, dengan hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat itu.

“Kita yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh Presiden parti dalam menegakkan layar di saat UMNO dipukul ombak.

“Dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.

“Oleh itu, pemimpin dan ahli harus berprinsip serta konsisten dalam perjuangan. Dalam keadaan UMNO berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti. Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, semakin ramai akar umbi UMNO mula berani mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti.

Jika sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Pontian, Helmi Buang; Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin; dan beberapa yang lain mahu Ahmad Zahid berehat secara terhormat, kali ini, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman juga meluahkan saranan yang sama.

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, kemelut pimpinan tertinggi UMNO, khususnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 berlarutan tanpa penyelesaian. – MalaysiaGazette