Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Tan Sri R.Nadarajah bercakap pada sidang media sempena perayaan Thaipusam di Pejabat Tan Sri R.Nadarajah, Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri R. Nadarajah merayu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengembalikan semula cuti umum Thaipusam di negeri itu.

Presiden Kuil Sri Subramaniam Swamy itu berkata, beliau yakin Muhammad Sanusi akan mendahulukan perasaan dan tradisi penganut Hindu di Kedah.

“Pada mulanya pengumuman Muhammad Sanusi itu telah menyebabkan saya terkilan mengenai keputusan pembatalannya dan telah meluahkan rasa tidak senang hati mengenai tindakan beliau.

“Bagi meredakan keadaan dan kritikan umum, saya cuma merayu sangat kepada beliau supaya semak semula keputusan beliau itu (batal cuti Thaipusam) dan kembali umumkan hari kelepasan itu.

“Saya sudah menulis surat kepada Muhammad Sanusi menyatakan pendapat dan kebimbangan saya serta pentingnya budibicara yang adil dan bijaksana untuk masyarakat India di negeri itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Nadarajah yang Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Bandar tidak mahu masyarakat mempunyai pandangan negatif ke atas ketua kerajaan negeri tersebut.

Diminta mengulas mengenai tindakan Sanusi itu, Nadarajah yakin dan percaya pemimpin berkenaan boleh membuat keputusan yang akan memanfaatkan rakyat tanpa mengeruhkan situasi.

Beliau tidak menjangka orang ramai akan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengembalikan semula cuti Thaipusam kerana mereka tetap akan duduk di rumah berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -MalaysiaGazette