Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun tindakan kompaun dikenakan dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi namun saban hari pasti ada rakyat Malaysia yang melanggar peraturan itu.

Buktinya, semalam sebanyak 117 kes kesalahan tidak memakai pelitup muka (117) direkodkan dan 235 kes membabitkan penjarakan sosial.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan membabitkan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (96), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (73) dan lain-lain (128).

Kesalahan ini direkodkan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah membuat 49,620 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 2,761 Pasukan Pematuhan melibatkan 12,673 anggota telah membuat pemantauan di 3,624 pasar raya, 4,919 restoran, 1,798 penjaja, 1,358 kilang, 3,115 bank dan 650 pejabat kerajaan.

Katanya, turut dipantau oleh Task Force ialah 999 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (250) dan terminal pengangkutan udara (92).

Pada masa sama, 717 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 642 individu dikompaun, 74 direman manakala satu lagi dijamin. – MalaysiaGazette