Sebahagian peserta sedang ditemubual secara dalam talian pada Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 (Job Fair) di Dewan MDKS Saujana Utama, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

GENEVA – Ekonomi dunia tidak dapat memulihkan sepenuhnya ‘kerosakan dalam pekerjaan’ tahun lalu pada tahun 2021 selepas pandemik Covid-19 ‘menyapu bersih’ 255 juta pekerjaan, kata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Walaupun dengan jangkaan paling optimis, waktu kerja akan tetap lebih rendah berbanding tahap sebelum krisis, menurut badan itu dalam laporannya.

Di bawah senario asas organisasi, ekonomi global akan berakhir tahun ini dengan hampir 90 juta pekerjaan sepenuh masa berkurangan berbanding sebelum wabak.

“Tanda-tanda pemulihan yang kita lihat sangat menggembirakan, tetapi ia rapuh dan sangat tidak menentu,” kata Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada negara atau kelompok yang dapat pulih dengan sendiri.

Kemusnahan yang disebabkan oleh wabak pada tahun 2020 tidak pernah terjadi sebelum ini dan kira-kira empat kali lebih besar daripada krisis kewangan 2009, kata ILO.

Namun, kerugian pada suku ketiga kurang dramatik berbanding sebelum ini berikutan pemulihan semula ekonomi yang kuat.

Pengurangan suku keempat dalam waktu bekerja sebanyak 4.6% bersamaan dengan 130 juta pekerjaan sepenuh masa – juga lebih rendah daripada ramalan sebelumnya.

Dalam senario pesimis, yang mana kemajuan vaksinasi lambat dan kesan pandemik berpanjangan, lantaran itu kerugian pasaran buruh pada tahun 2020 akan tetap pada tahap sama pada tahun ini.

Prospek ini menunjukkan perbezaan antara sektor yang paling teruk dilanda Covid-19 termasuk hospitaliti, seni dan runcit yang mengalami kerosakan besar berbanding sektor perkhidmatan berkemahiran tinggi, bahkan dalam menyaksikan pertumbuhan pekerjaan.

Wanita, orang muda, pekerja sendiri dan pekerja berkemahiran rendah paling terjejas teruk, kata ILO.

Terdapat keprihatinan serius bahawa ia dapat diterjemahkan menjadi pemulihan yang tidak setara, yang mana pekerja dan perniagaan yang dilanda krisis akan mendapat kurang keuntungan daripada pemulihan keadaan ekonomi, menurut laporan ILO. – MalaysiaGazette